Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
Dengar saja tentang GST perkara pertama yang
akan terlintas di kepala kita sudah pastilah tentang kenaikan harga barang
disebabkan cukai yang dikenakan oleh kerajaan. Memandangkan pada PRU13, BN kekal
dipilih sebagai kerajaan, pelaksanaan GST mungkin akan terjadi dalam tempoh masa
setahun atau dua tahun daripada sekarang. Walaubagaimanapun, sebagai rakyat yang
matang, kita haruslah memahami sesuatu isu tersebut sebelum kita membangkang apa
sahaja dasar yang dibawa oleh kerajaan.
Setelah menerima maklumbalas daripada laman
media sosial Twitter dan FB, saya simpulkan bahawa ramai yang sebenarnya tidak faham
tentang apa itu sebenarnya GST, bagaimana GST dilaksanakan dan juga kesan GST
terhadap harga barang dan perkhidmatan. Saya tidak menyalahkan kawan-kawan
semua kerana kerajaan juga tersilap langkah apabila penerangan tentang GST
tidak dibuat secara menyeluruh malah peluang menerangkan GST melalui media
perdana seperti surat khabar, tv dan radio disia-siakan oleh kerajaan apabila ia hanya
digunakan untuk menghentam pembangkang, menabur fitnah dan terbaru
membangkitkan semangat perkauman. Sebelum membaca artikel ini saya minta
kawan-kawan tinggalkan politik partisan, buka mata dan hati supaya kita faham
apa itu sebenarnya GST.
Cukai di Malaysia
Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan
kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang
kedua cukai penggunaan (consumption tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang
dikenakan keatas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen,
dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan keatas barangan
yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori
cukai penggunaan (consumption tax).
Apa itu GST dan SST?
GST adalah ‘Goods and Services Tax’ atau cukai
barangan dan perkhidmatan. Selama ini, kita rakyat Malaysia membayar SST iaitu
‘Sales tax and Service tax’ atau cukai jualan dan cukai perkhidmatan. SST
kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket
wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza pada kadar 6%
untuk cukai perkhidmatan (service tax) dan 10% untuk cukai jualan (sales tax).
Anda boleh merujuk bil atau resit setiap kali anda membuat bayaran bil telefon,
ASTRO, selepas membeli belah di Tesco, Jusco, Giant dan sebagainya. Semuanya ada
tertera jumlah dan peratusan SST yang dibayar.
GST yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia pada
tahun 2009 adalah pada kadar 4% yang menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar
6%-10%. Jadi apa bezanya GST dan SST? Pelaksanaan GST merangkumi segala jenis
barangan dan perkhidmatan yang ada di Malaysia termasuk barangan yang diimport
mahupun yang dibuat dibuat di Malaysia. GST akan mengenakan cukai pada setiap
lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang
(manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit/kedai (retailer) hinggalah
kepada pengguna (end-customer). Cukai GST ini akan dikutip setiap kali
transaksi berlaku dan penjual akan mengutip cukai daripada pembeli mengikut
rantaian bekalan tadi. Walaubagaimanapun 4% itu adalah kadar tetap dan tiada
cukai berganda (multiple taxes). SST pula kebiasaannya dikenakan kepada
pelanggan yang membeli barangan daripada kedai/peruncit dan terdedah kepada cukai
berganda. Pelaksanaan SST juga tidak menyeluruh menjadikan ia tidak saksama.
Pelaksanaan GST
Idea melaksanakan GST ini mula dibincangkan pada
tahun 2007 dan pada mulanya dijadualkan untuk dilaksana pada tahun 2009
kemudiannya ditangguhkan atas sebab pilihanraya dan juga sebab kurangnya
pemahaman tentang GST dikalangan rakyat Malaysia. Kemudiannya, rang
undang-undang GST dibaca diparlimen buat kali pertama pada tahun 2009 dan
dijadualkan dibaca untuk kali kedua pada 2010 namun ia ditangguhkan juga atas
sebab-sebab yang sama.
Pelaksanaan GST ditangguh
GST yang dicadangkan oleh kerajaan adalah pada kadar
rata 4% untuk SETIAP barangan dan perkhidmatan. WALAUBAGAIMANAPUN, kerajaan akan
mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung,
pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan juga barangan seperti
ubat-ubatan dan sebagainya. Dengan pengecualian ini, kesan kenaikan harga ke
atas barangan dan perkhidmatan asas adalah minima (atau tiada). Perkara ini ada
dinyatakan di laman web Kastam DiRaja Malaysia tentang GST.
Keperluan melaksanakan
GST
GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar
kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah
pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan
pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion)
dan sebagainya. Untuk pengetahuan kawan-kawan daripada jumlah penduduk
(populasi) seramai 28 juta di Malaysia kurang daripada 10% membayar cukai
pendapatan manakala daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) seramai 11
juta di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah
lebih kurang 25%. Bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah
sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan
seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan
menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya
membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan.
GST tidak adil kepada
orang miskin?
GST nampak tidak adil kepada mereka yang
berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama
seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping
melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai
atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti
BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih
sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah
kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M).
Konsep cukai penggunaan (consumption tax)
seperti GST adalah semakin banyak apabila anda membeli barang atau menggunakan
perkhidmatan, semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan
anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan
membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka
yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka.
Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka
yang berpendapatan rendah.
Kesan GST
GST jika dilaksanakan seperti di negara lain
contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income
tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif
kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh
guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun, kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai
pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak
langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja
secara berhemah dan jika perlu sahaja.
Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST
akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada
sesetengah barangan akan naik harga TETAPI ada juga barangan yang akan turun
harga setelah kadar GST 4% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10%
dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang,
bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai
SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan
meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai
konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.
Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang
memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang
tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan.
Salah faham kebelakangan
ini
GST yang dimaksudkan diatas adalah ‘government
service tax‘ pada kadar 6% dan bukannya Goods and Services Tax pada kadar 4%
yang dicadangkan. Sepatutnya Tesco Extra menulisnya sebagai SST atau Service
Tax dan bukannya GST untuk mengelakkan kekeliruan seperti diatas. GST 4% akan
menggantikan cukai perkhdimatan 6% ini. Cukai perkhidmatan diatas sebelum 2011
adalah pada kadar 5% kemudiannya dinaikkan kepada 6% yang berkuatkuasa pada 1 Januari
2011.
Rujuk: Info untuk umum – Cukai Perkhidmatan
"Setelah menerima maklumbalas"
ReplyDeleteKata majmuk "maklumbalas" perlu dipisahkan menjadi dua perkataan iaitu "maklum balas".
Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada sesetengah barangan akan naik harga. Perkataan dikalangan harus ditukar menjadi dalam kalangan.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteWalaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari.
ReplyDeletePerkataan walaubagaimanapun harus dipisahkan menjadi walau bagaimanapun
"Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax). "
ReplyDeleteTanda noktah perlu diletakkan selepas perkataan Malaysia supaya ayat dibentuk lebih gramatis dan senang difahami.
"Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang."
ReplyDelete"ia" hanya boleh merujuk kepada manusia sahaja. Dalam ayat ini, "ia" merujuk kepada konsep GST.
Ini adalah penggunaan yang salah.
"ia" patut diganti dengan "konsep GST".